Saya dan sa-orang Faten.


                                                                     Image

Assalamualaikum dan hi Faten! Sedar tak sedar tinggal beberapa bulan sebelum kau menyambung pelajaran di United Kingdom dan bukan Ulu Klang. Ketahuilah, sengaja aku menulis suntingan ini dalam Bahasa Melayu, saat suatu hari nanti kau di sana, mungkin sedikit terlupa bahasa ibunda kita yang manis tersusun atau kau diusung rindu yang meruap pada kami di tanah air, maka bacalah ini, ya.

Saat aku menulis ini, bumi Kuala Lumpur sedang damai bersama hujan yang lebat, alhamdulillah.
Mungkin saat kau membaca lagi 7-10 bulan, saatnya sedang salji atau daun luruh sedang cantik menutupi jalan-jalan dan menghiasi pandangan. Tiada lagi cuaca sejuk segar Rembau, sejuk yang tidak sama bagai sejuknya salji. Appaun, belajarlah untuk bersyukur dan gembira di mana kau berada. Kita masih dibumi yang sama, menikmati matahari, bulan dan langit yang sama. cuma geografi yang berbeza.

Aku tidak begitu berjaya mengimbas memori bagaimana pada akhirnya kita begitu rapat, sehingga pada taraf aku menegur pada cara yang kasar menurut aku--maaf untuk itu. Kadangkala kau begitu tenggelam dalam sedih, lantas aku terpaksa memberi balas bahasa luar sebuah normal untuk "mengetuk" diri kau kembali pada realiti. Sebab pada aku, ceria kau tu tak wajar dibazirkan pada siapa entah dia di kehidupan kau waktu ini. 'Dia' bukan lagi seseorang watak utama dalam kehidupan kau saat ini. Kalian (kau dan 'dia') bukan UMNO untuk "dulu, kini selamanya." mahupun Honda "Gaya, mutu, keunggulan''. Jadilah jenama dotdot, kerana dirimu begitu berharga.

Terima kasih untuk segala nasihat kau, terima kasih atas segala pertolongan, terima kasih menjadi watak yang begitu ceria dan mengambil berat, jangan bazirkan asset sifat kau yang ada ini untuk dibazirkan. Aku tidaklah mengatakan kau perlu menjadi tegas dan berhati kering, tetapi begitulah. Supaya tidak ada yang menyiang halus hati kau yang tidak tahu secara saintifiknya sudah berulam jahit mahupun berupa apa. Tiap kali kau bercerita, aku turut merasa sakitnya, kerana aku pun pernah menjadi begitu.

Sehingga sebuah jalinan takdir, aku berubah. Aku masih menjadi yang mengambil berat, tetapi aku belajar memilih. Kerana pada akhirnya, aku sendiri untuk mengubat hati. Orang sekeliling boleh membantu, tetapi yang paling utama, ialah aku. Seiring masa, aku mula sedar aku tidak sekuat dulu. "Kadar kesembuhan" hati aku tidak sepantas sewaktu aku menjadi anak remaja. Mungkin kerana, menjadi dewasa, dan bercinta main-main ini bukanlah buah bicara mahupun fikiran lagi.

Kenalilah diri kau. Kiranya kau merasa kau masih begitu mudah untuk terubat dan berlalu, silakan. Tetapi aku kira, kita bukan lagi pada usia untuk bermain, bercanda. Maka moga kau menemui seorang lelaki yang otak dan hatinya sudah diajar dan bertunas tentang sebuah ketanggungjawaban. Bukan lagi berpusar sekitar seronok-seronok dan mengisi masa lapang. Bukan kanak-kanak yang pabila kau menunjuk muka garang itu, lantaran semua yang konon-konon pengawas bertanggungjawab itu bertukar sifat, tidak mahu mengaku salah. Atau mungkin dakwanya meracau tatkala tidur.


Image Gambar sekadar hiasan. hahahahah

Kau akan sentiasa menjadi watak yang unik dalam hidup aku. Kita sama-sama pernah berkongsi kisah bagaimana akhirnya mantan menutur kata perpisahan, bagaikan tiada kesan pun pada raut wajah tu. Hm geram pula bila diingat semula. Sudah, yang berlalu biarlah. Moga Tuhan memberikan yang lebih baik. Tidak perlu tergesa-gesa. Mari menjadi wanita muda yang bekerjaya dan berbakti pada keluarga. Apapun, keluarga I Am Me sentiasa ada. Sentiasa terputus sel otak. hahahah

Semoga berjaya menyambung pelajaran dan bergraduasi dengan cemerlang, lantas pulang berkhidmat pada negara kita, ya! Akan ada saatnya kau terasa lelah dan berputus asa, tetapi, sejauh kehidupan berliku ini mampu kau tempuhi bersama esak dan tangis dan kadangkala bersama perasaan--bilakah musim sakit perit ini akan habis, berjaya jua kau tempuhi, setiap kali.

Jangan merasa lemah kerana kau menangis. Setiap daripada kita menangis, cuma kita memilih dengan siapa, kan? Ada kadangkala terlepas juga air mata dihadapan entah siapa, mengapa perlu malu? Sedangkan airmata ini ciptaan Tuhan. Tatkala keluar air dari hidung (hingus), air daripada kulit (peluh),--persoalannya tak perlu malu. Tidak mengapa, wahai Faten.

Semoga sentiasa dalam jagaan Allah, semoga setiasa baik-baik. ❤️

Ruh itu saling mengenali. Akan selalu ada orang-orang yang baik saat kita berusaha menjadi baik.
Aku tidak tahu panjang mana umurku, mungkin juga nanti saat aku pergi jauh tak kembali, kau masih di sana, maka panjang-panjangkan doa buat aku yang serba kekurangan ini.

Moga kita akan berjumpa semula di syurga. 💗

Comments

Popular Posts